Isnin, 16 November 2009


Telah berkata sebahagian dari ulama’ salaf ;

“Takut kepada Allah SWT dapat menutup mata hati orang yang punya rasa takut tersebut dari terpaut dengan kecintaan terhadap dunia yang penuh dengan tipu daya”

Allah SWT juga telah berjanji untuk mengurniakan syurga kepada hambaNya yang mempunyai rasa gerun dan takut kepadaNya. Allahu Jalla Jalaaluh berfirman;

“Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya itu dua syurga” - surah Ar Rahman : 46

Berkata al Imam Mujahid ‘alaihi rahmatulLah ;

“Di dalam ayat ini, dijelaskan bahawa Allah SWT akan mengadili setiap jiwa (makhluk). Sesiapa yang melakukan sesuatu, lantas dia takut untuk mempertanggungjawabkan perbuatannya di hadapan Allah SWT di akhirat kelak, maka dia berhak mendapat syurga Allah SWT”

Imam Mujahid menyambung lagi ;

“Dia (orang yang dimaksudkan di dalam ayat di atas) adalah seorang yang melakukan dosa, lalu teringat bahawa perbuatannya kelak dipertanggungjawabkan ketika mengadap Allah SWT, lantas dia meninggalkan perbuatan tersebut”

Imam Mujahid juga menyebut ;

“Dia (orang yang dimaksudkan di dalam ayat di atas) juga adalah seorang hamba yang merasa bingung dan resah dengan maksiat yang dilakukannya, lantas segera ia teringat kepada Allah SWT dan meninggalkan perbuatan keji tersebut kerana Allah”

Diriwayatkan daripada al Hasan bahawa ia berkata ;

“Syurga berkata : “wahai Tuhanku, aku ini sebenarnya diciptakan untuk apa?”, Allah lalu berfirman: “Untuk orang-orang yang menyembahku dan takut kepadaKu”.

Wahab ibn Munabbih berkata ;

“Tidak ada yang membuat Allah SWT lebih senang daripada disembah dengan disertai rasa takut kepadaNya”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan